Purdah: Gadis India dan Islam...
“Pakai purdah boleh menakutkan bukan Islam”
“Berniqab tidak sesuai dengan waqi’ Malaysia terutama untuk berdakwah kepada mereka”
Pendapat sebegitu memberi kesan kepada saya untuk berfikir dan berfikir mengenai kebenaran alasan tersebut dan sejauh mana saya perlu mengaplikasikannya dalam hidup saya. Sementelah saya salah seorang individu yang berminat menyampaikan keindahan Islam kepada orang lain.
Hairan juga saya, dalam majoriti muslimah di Malaysia tidak memakai purdah, si pemakai purdah juga yang menjadi sasaran. Jika pilihan wanita tidak berpurdah adalah yang terbaik untuk menyampaikan dakwah, maka pilihannya terlalu ramai untuk kita gerakkan mereka sebagai pendakwah.
Saya tidak berminat mengulas lanjut mengenainya sekarang. Mungkin justifikasi tersebut lahir hasil pengalaman sendiri, kaji selidik dan pemerhatian pada realiti yang berlaku. Jika begitu tidak mengapalah. Ia boleh diraikan. Namun jika ia lahir dari faktor ketidakyakinan kepada salah satu juzuk ajaran Islam, nampaknya empunya pendapat begitu dihinggapi penyakit pada aqidahnya.
Pengalaman di bawah adalah untuk muslimah yang berminat memakai niqab dan dalam masa yang sama punya cita-cita yang tinggi menyampaikan kebaikan Islam kepada masyarakat di sekitarnya.
Saya suka jika sesiapa mahu memberikan pendapatnya mengenai pengalaman saya di bawah.
******************
Kira-kira 11 tahun yang lalu, saya menemani suami ke sebuah kantor kerana beliau mempunyai urusan kerja di sana. Saya menunggu suami di luar pejabat sambil duduk di atas sebuah bangku yang disediakan.
Seperti biasa, saya mengenakan niqab kerana kawasan itu kawasan terbuka dan dikunjungi orang awam. Kalau tidak silap, hari itu saya mengenakan pakaian berwarna agak gelap. [Bukan hitam sebab hitam adalah warna yang tidak digemari waktu itu].
Tiba-tiba seorang gadis India berpakaian seragam kerja menghampiri saya. Gadis itu memakai blause putih berlengan pendek dan berskirt paras lutut. Dia minta izin untuk duduk di hadapan saya. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, saya mempersilakan dia duduk. Meja bulat diperbuat dari simen itu menjadi saksi perbualan kami seterusnya.
Saya teruja sebenarnya kerana didekati gadis non muslim sedangkan saya mengenakan niqab yang dianggap ramai orang boleh menakutkan non muslim. Apatah lagi mahu mendekati mereka.
“Mata awak cantik… tentu awak cantik orangnya”, gadis itu memuqaddimahkan perbualan.
Ke situ pula dia menegur. Saya rasa tidak sedap hati lalu menjawab, “Hmm… tak delah… biasa je”. Itu hanya persepsi dia semata.
“Boleh saya tanya sesuatu?” gadis India itu menyambung.
Saya dapat lihat keresahan menghiasi wajahnya. Tanpa bertanya nama dan tanpa taaruf apa-apa, dia terus meluahkan masalahnya.
Saya lupa apa masalah yang telah diceritakan, namun rumusannya dia mengatakan dirinya ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Memang dia cerita satu persatu masalah yang datang menimpa dirinya tidak putus-putus. Belum selesai yang pertama, datang masalah yang kedua. Belum selesai masalah yang kedua, datang masalah yang ketiga.
Kasihannya. Patutlah wajahnya sugul sahaja.
Seperti biasa juga, bila seseorang mahu berkongsi masalah, saya mendengar dengan tekun dan penuh minat. Akhirnya dia meminta pandangan saya bagi mengatasi masalahnya.
“Maaf ye… saya tidak tahu penyelesaian dari sudut agama lain. Saya hanya tahu dari sudut Islam. Boleh saya beritahu dari sudut pandangan Islam?”
Sememangnya waktu itu saya belum terdedah dengan ilmu perbandingan agama dan budaya bangsa lain secara khusus. Modal yang saya ada hanyalah pada konsep dan matlamat manusia diwujudkan. Saya juga meyakini fitrah manusia adalah sama walaupun mereka berbeza bangsa, bahasa dan warna kulit.
“Boleh… saya mahu mendengarnya…” respon positif diberikan.
“Dalam agama Islam, Nabi Muhammad s.a.w adalah insan yang paling dikasihi Tuhan tapi dialah yang paling banyak menerima ujian…”
“Saya tahu itu… ada ahli keluarga saya yang sudah memeluk Islam… tapi… ” sambil gadis India itu menyebut ahli keluarganya yang telah memeluk Islam sambil terus mengeluh terhadap masalah yang menimpanya.
“Hmm setahu saya… bila diuji, itu tanda Tuhan sayangkan kita…”
Perbualan kami tidak lama kerana sama ada suami selesai dari urusannya dan saya perlu pulang atau gadis itu sendiri perlu menyambung kerjanya.
Saya berharap suatu hari nanti, gadis itu bisa memahami apa yang saya maksudkan ujian sebagai tanda Tuhan sayang.
Meskipun secara zahirnya, gadis India itu belum beriman kepada Allah dan rasulNya namun konsep Tuhan sayang itu adalah satu ‘point’ yang relevan untuk dia jadikan panduan mencari yang tersirat di sebalik yang tersurat. Apatah lagi bila saya menyebut Islam, dia terus mengakui sudah ada di kalangan keluarganya yang memeluk Islam.
Bunga-bunga Islam sedang mengembangkan kelopaknya pada gadis itu… adakah dia sudi menerima harumannya?
Wallahua’lam.
Semoga Allah memberinya hidayah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan